Media Center

Aerodyne tembusi pasaran dron Thailand

21st May 2021

KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan, Aerodyne Group membentuk usaha sama dengan AI and Robotics Ventures Company Limited (ARV) dan Digital Creation Co Ltd (DC) dari Thailand untuk menyediakan penyelesaian perusahaan berasaskan dron di seluruh Thailand.

Syarikat usaha sama itu dikenali sebagai AeroSky (Thailand) Company Ltd.

Aerodyne, syarikat perkhidmatan dron global yang berpangkalan di Cyberjaya, menguasai kepentingan 34 peratus sementara ARV dan DC, masing-masing 33 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama berkenaan yang berdaftar di Thailand.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, syarikat-syarikat itu menyatakan usaha sama ini akan memanfaatkan trend dan peluang transformasi digital.

DISYORKAN UNTUK ANDA

"Untuk menyediakan perkhidmatan yang tiada tandingan kepada pelanggan dalam industri telekomunikasi, elektrik, minyak dan gas serta industri lain yang membabitkan infrastruktur, perniagaan ini akan menggabungkan kekuatan teras kepakaran ARV dalam penyediaan dron dan penyelesaian kepintaran buatan (AI) dan robotik yang sofistikated.

"Dron bersepadu dan penyelesaian 'perisian sebagai perkhidmatan' Aerodyne Group; dan teknologi pembelajaran serta pemantauan mesin canggih DC," katanya.

AeroSky juga membolehkan pemeriksaan dan pemantauan infrastruktur menjadi lebih berkualiti, cepat dan dengan kos yang murah.

Perkhidmatan ini juga dapat mengurangkan risiko bekerja di ketinggian yang biasanya memerlukan perancah.

Pengurus Besar ARV, Dr Thana Slanvetpan, berkata pelanggan AeroSky akan mendapat manfaat daripada kemampuan ARV untuk mengembangkan dron pintar dan platform yang memenuhi keperluan khusus industri serta mempunyai rangkaian pasaran yang luas.

"Usaha sama ini juga akan berfungsi sebagai forum untuk meningkatkan nilai dalam pasaran Thailand," katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne, Kamarul A Muhamed, menyatakan bahawa terdapat keperluan mendesak bagi pemilik infrastruktur aset yang telah lama untuk mengekalkan dan memastikan aset mereka terus beroperasi pada tahap optimum sehingga jurang itu ditutup.

"Inilah masanya bagi syarikat usaha sama kami, AeroSky menyediakan penyelesaian pengurusan dan pemeriksaan aset yang lebih pantas, murah dan selamat," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif DC, Thanarat Leetrakul, pula berpendapat AeroSky mempunyai banyak kelebihan daya saing yang kuat dalam pelbagai bidang kenderaan udara tanpa pemandu atau industri UAV.

ARV adalah anak syarikat teknologi yang dimiliki sepenuhnya oleh PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP) Thailand yang dikhususkan untuk menyediakan penyelesaian bagi masalah kompleks dengan menggunakan teknologi AI dan robotik.

Manakala, DC adalah syarikat berasaskan teknologi terkemuka yang berpengkhususan dalam membawa penyelesaian global yang paling inovatif untuk pasaran Thailand.