Media Center

Bateriku.com-UiTM jalin kerjasama bidang keusahawanan automotif

4th Jun 2025

By Utusan.com

SHAH ALAM: Penyedia ekosistem otomotif, Syarikat Bateriku.Com (Bateriku.com) buat julung-julung kali bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk mempromosi bidang keusahawanan automotif dan inovasi teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi Zakaria Ansari berkata, kerjasama selama tiga tahun itu dapat memanfaatkan model perkhidmatan inovatif Bateriku.com yang menggabungkan data raya (big data), internet benda (IoT) dan ekonomi perkongsian untuk menyediakan penyelesaian dalam industri automotif masakini.

"Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan institusi ternama dan terbesar seperti UiTM. Perkongsian ini bukan sekadar perkongsian kepakaran, tetapi usaha bersama membentuk tenaga kerja masa depan.

"Kerjasama erat kedua pihak, akan memperkayakan persekitaran pendidikan UiTM dengan pendedahan praktikal dan pemahaman industri sebenar kepada pelajar dan pensyarah," katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua pihak di Bangunan Canseleri UiTM di sini hari ini.

Azarol Faizi berkata, MoU itu juga bertujuan memperkukuh hubungan akademik dan budaya keusahawanan kedua pihak sambil menggalakkan penyelidikan inovasi secara bersama.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) UiTM, Prof. Tpr. Dr. Jamalunlaili Abdullah berkata, usaha kolaboratif antara kedua pihak membuka peluang latihan industri dan penglibatan aktif dalam ekosistem perniagaan, yang diharap mampu mencipta generasi usahawan dalam kalangan graduan UiTM yang berdaya saing.

"Kerjasama menerusi Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM ini selaras dengan agenda universiti untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan juga menawarkan peluang kepada graduan UiTM untuk kebolehpasaran yang lebih tinggi dan masa depan kerjaya yang lebih mampan.

"Inisiatif ini untuk memperkasakan pelajar dengan mengukuhkan kemahiran kepimpinan, pemikiran kritikal, dan kesedaran sosial," katanya.