Media Center

VentureTECH dan POMEN bekerjasama kukuhkan ekosistem digital Malaysia

12th Mar 2025

By Dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Mac - VentureTECH Sdn Bhd mengumumkan pelaburan strategik dalam syarikat Bumiputera, POMEN Autodata Sdn Bhd (POMEN), untuk mempercepatkan pertumbuhannya, memperkukuhkan platform inovatif dan menyokong digitalisasi ekosistem perkhidmatan dan operasi yang bersambung.

Ditubuhkan pada tahun 2018, POMEN yang menyediakan rumusan Software-as-aService (SaaS) yang lengkap dengan elemen utama untuk kecekapan tenaga kerja dan pengurusan penyelenggaraan, muncul sebagai pemain utama dalam rumusan SaaS bersepadu dengan platform utama seperti ENFLEET dan ENGARAGE.

ENFLEET adalah platform pengurusan aliran kerja penyelenggaraan aset, membolehkan syarikat mendapat ketelusan dalam kerja penyelenggaraan aset.

Sementara itu, ENGARAGE adalah platform pengurusan tenaga kerja untuk penyedia perkhidmatan dalam mengurus operasi perkhidmatan secara menyeluruh.

Kedua-dua platform berkenaan berfungsi sebagai alat kerjasama, meningkatkan kecekapan tenaga kerja.

Dipercayai oleh pelanggan terkemuka termasuk Petronas, Maxis dan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), POMEN menghubungkan pemilik aset dengan rangkaian lebih 2,400 penyedia perkhidmatan bebas di seluruh negara.

Melalui platform inovatifnya, syarikat itu sentiasa meningkatkan modul analisis datanya untuk memberikan pandangan lebih mendalam, modul penyelenggaraan ramalan, serta modul cadangan dengan integrasi API terbuka.

Pelaburan oleh VentureTECH akan mengukuhkan keupayaan teknologi POMEN dan mendorong pengembangan serantau ke Asia Tenggara.

Kerjasama tersebut juga akan memupuk inovasi, membolehkan POMEN memperhalusi tawaran sedia ada, menyepadukan teknologi baharu dan mengembangkan platformnya untuk memenuhi keperluan industri yang pelbagai.

Dengan memudahkan pertumbuhan berkenaan, VentureTECH akan meletakkan POMEN sebagai peneraju dalam peralihan digital, memberi sumbangan besar kepada ekosistem teknologi Malaysia yang semakin berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH, Ahmad Redzuan Sidek berkata, pelaburannya dalam POMEN menegaskan komitmen untuk membantu syarikat tempatan yang mampu membawa perubahan melalui inovasi digital, kemajuan sosioekonomi dan kelestarian alam sekitar.

"Platform canggih POMEN memudahkan ekosistem penyelenggaraan armada dan pengurusan pekerja, membolehkan perniagaan meningkatkan operasi mereka sambil memberi peluang kepada usahawan Bumiputera untuk berjaya dalam sektor bernilai tinggi.

"Selain memperkukuhkan kedudukan pasaran POMEN, kerjasama ini juga akan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang teknologi dan kejuruteraan," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif POMEN, Syed Zulhilmi Tuan Sharif berkata, kerjasama dengan VentureTECH adalah pencapaian penting bagi POMEN, mengesahkan visi syarikat untuk menaik taraf penyelenggaraan aset dan pengurusan tenaga kerja melalui teknologi.

"Dengan sokongan VentureTECH, kami kini lebih bersedia untuk mengembangkan rumusan kami ke pelbagai industri dan memenuhi permintaan pelanggan baik di peringkat tempatan dan serantau.

"Ketika kami mahu meneroka sektor pelabuhan dan penerbangan, kami komited untuk menyediakan rumusan canggih yang meningkatkan kecekapan, mencipta nilai bagi pelanggan dan pihak berkepentingan, serta menyumbang kepada inisiatif peralihan digital yang lebih luas," jelasnya.

Pelaburan itu selaras dengan strategi lebih luas VentureTECH untuk mengatasi jurang pembiayaan dan mengukuhkan ekosistem syarikat pemula Malaysia.

Ia diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dengan Cradle Fund Sdn Bhd di bawah Program Fund Funnel, yang bertujuan mewujudkan laluan pembiayaan yang lebih terstruktur untuk syarikat pemula.

- DagangNews.com