Media Center

VentureTech labur dalam 2 syarikat Bumiputera di Sabah terlibat pengeluaran insulin dan teknologi pertanian

14th Oct 2026

By Dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt – VentureTech Sdn Bhd melabur dalam dua syarikat Bumiputera tempatan di Sabah, Hanan Medicare Sdn Bhd dan AgriData Portal Sdn Bhd, sebagai usaha memperkukuh bekalan ubat-ubatan dan keterjaminan makanan negara menerima suntikan dana baharu.

Pelaburan terkini itu dijangka dapat menyokong pengembangan pengeluaran ubat biosimilar termasuk insulin, selain bakal memperluaskan lagi penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian bagi meningkatkan produktiviti pekebun kecil di negeri berkenaan.

Anak syarikat milik penuh Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) itu berkata, Hanan Medicare, yang ditubuhkan pada 2014, sedang mengembangkan perniagaannya ke arah pembuatan biofarmaseutikal bernilai tinggi dan lebih kompleks.

"Ini termasuk ubat biosimilar, selain membangunkan kemudahan pembuatan termaju di Menara Hanan, Rawang, Selangor, merangkumi tiga ruang pengeluaran khusus biofarmaseutikal, produk suntikan isipadu kecil dan produk galenikal," ujar kenyataan VentureTech.

Tumpuan terhadap biosimilar insulin berpotensi mengukuh kepakaran tempatan dan keupayaan Malaysia menghasilkan ubat biologi kritikal. Langkah itu turut menyokong usaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar dan meningkatkan keselamatan bekalan ubat negara.

Sementara itu jelasnya, AgriData Portal ditubuhkan pada 2020 yang membangunkan model pertanian bersepadu menggabungkan pembiayaan, pengurusan ladang, teknologi penanaman dan akses pasaran bagi pekebun kecil menangani kekangan modal, produktiviti serta pemasaran.

Model itu kata VentureTech, beroperasi menerusi tiga komponen utama, iaitu AG-FUND bagi memudahkan akses pembiayaan melalui institusi kewangan, AGRI-SPARK untuk menyokong amalan penanaman moden dan AG-MARKET memperluas akses pasaran serta pengedaran peringkat akhir.

"Menerusi pelaburan tersebut, AgriData Portal akan mempertingkatkan sistem pengurusan ladangnya, menambah hab AGRI-SPARK daripada tiga kepada tujuh di seluruh Sabah serta mengembangkan rangkaian Sparkgrowers kepada lebih 120 peserta," jelas kenyataan berkenaan.

Kesemua komponen itu disokong Sistem Pengurusan Ladang proprietari syarikat, dengan usaha berkenaan dijangka dapat membantu dalam meningkatkan produktiviti pertanian dan membuka peluang sosioekonomi lebih luas kepada komuniti petani di negeri tersebut.

Kedua-dua pelaburan itu dimeterai menerusi majlis menandatangani perjanjian pelaburan di Kuala Lumpur dengan disaksikan sendiri oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi VentureTech, Datuk Ir Khalilur Rahman Ebrahim.

Pegawai Bertanggungjawab merangkap Ketua Pegawai Operasi VentureTech, Nizam Mohd Reza berkata, peranan syarikat itu bukan sekadar menyediakan modal, malah merangkumi sokongan kepada pembangunan operasi, bakat, keupayaan pasaran dan pertumbuhan mampan.

"Pelaburan ini selari aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) memperkukuh industri strategik, membangunkan keupayaan tempatan serta menggalakkan banyak syarikat Bumiputera menceburi sektor pertumbuhan tinggi," katanya.

-dagangnews