
By- Berita Harian
KUALA LUMPUR: VentureTECH Sdn Bhd (VentureTECH), syarikat pelaburan impak disokong kerajaan, melabur RM28 juta dalam tiga syarikat teknologi Bumiputera berpotensi pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi bagi memperkukuh inovasi serta daya saing industri negara.
Pelaburan strategik itu membabitkan Move Robotic Sdn Bhd (Move Robotic), Recove Group Sdn Bhd (Recove) dan Edote Sdn Bhd (Edote), yang masing-masing membangunkan teknologi dalam bidang automasi industri, inovasi penjagaan kesihatan dan teknologi bantuan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH, Azizan Jaafar, berkata pelaburan berkenaan menyokong syarikat Bumiputera yang mempunyai teknologi inovatif, model perniagaan berskala serta potensi komersial kukuh.
"VentureTECH melabur dalam syarikat yang membangunkan teknologi inovatif bagi menyelesaikan cabaran sebenar, memperkukuh industri strategik dan berpotensi berkembang secara mampan.
"Move Robotic, Recove dan Edote mencerminkan syarikat Bumiputera yang menggabungkan inovasi dengan potensi komersial kukuh, selain memberikan impak sosioekonomi bermakna," katanya dalam kenyataan sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Pelaburan di Pulse Grande Hotel, di sini, semalam.
VentureTECH berkata peranannya bukan sekadar menyediakan modal, sebaliknya turut bekerjasama dengan syarikat pelaburan sepanjang perjalanan pertumbuhan mereka, termasuk memperkukuh keupayaan, membuka peluang pasaran baharu serta membantu pengembangan perniagaan secara mampan.
Move Robotic menyediakan ekosistem automasi gudang dan logistik menyeluruh yang mengintegrasikan robot mudah alih autonomi, penyelesaian pengendalian bahan autonomi, sistem penyimpanan dan pengambilan automatik serta sistem pallet shuttle.
Teknologi itu turut disepadukan dengan sistem pengurusan gudang dan Robot Fleet Manager milik syarikat, membolehkan robotik, automasi penyimpanan dan perisian digabungkan dalam satu penyelesaian hujung ke hujung.
Move Robotic juga menawarkan model Robot-as-a-Service yang membolehkan pelanggan mendapatkan teknologi berkenaan menerusi langganan lengkap, sekali gus mengurangkan keperluan pelaburan awal dan memudahkan akses kepada automasi.
Recove pula ialah platform pengkomersialan teknologi perubatan yang memberi tumpuan kepada usaha mengubah hasil penyelidikan penjagaan kesihatan kepada teknologi perubatan yang boleh dipasarkan menerusi kerjasama dengan universiti, penyelidik dan pakar perubatan.
Syarikat itu sebelum ini berjaya mengkomersialkan NEORUBIN®, iaitu peranti saringan jaundis bayi secara tidak invasif, dan kini membangunkan beberapa lagi teknologi perubatan menerusi saluran inovasinya.
Edote pula memberi tumpuan kepada teknologi bantuan bagi meningkatkan akses digital golongan cacat penglihatan menerusi eBrelle, komputer riba Braille kendiri pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.
Peranti itu membolehkan pengguna mengakses, mencipta serta berinteraksi dengan kandungan digital secara lebih bebas.
VentureTECH berkata sokongan kepada ketiga-tiga syarikat itu akan membantu memperluas kapasiti pengeluaran, memperkukuh portfolio produk serta mempercepatkan pengkomersialan teknologi tempatan untuk pasaran Malaysia dan serantau.
Majlis berkenaan turut disaksikan Pengerusi VentureTECH, Datuk Ir Khalilur Rahman Ebrahim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Industry-Government Group for High Technology, Ts Rushdi Abdul Rahim; Timbalan Pengarah 2 (Pembangunan Bumiputera), Bahagian Pembangunan Ekuiti, Kementerian Ekonomi, Dr Haji Hisham Kamal Othman Kamal; serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Rafea'ah Nahar.
VentureTECH berkata pelaburan berkenaan mencerminkan komitmennya untuk menyokong syarikat Bumiputera yang mempunyai aspirasi dan keupayaan bersaing di peringkat serantau serta global, selain memperkukuh ekosistem inovasi dan mewujudkan nilai sosioekonomi mampan selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035. - bharian.com.my