
By Beritaks.com
KUALA LUMPUR, 31 Jan – VentureTech Sdn Bhd dilaporkan melabur dalam firma teknologi pendidikan (edtech), TYMBA Education Group, yang memberi tumpuan kepada penyediaan kelayakan profesional dalam bidang perakaunan dan kewangan sekali gus menyokong perkembangan serantau.
Dalam kenyataan bersama, VentureTech dan TYMBA memaklumkan pelaburan tersebut bertujuan menyokong pembangunan platform digital TYMBA, selain mempercepatkan peluasan operasinya ke peringkat serantau di seluruh ASEAN.
Menurut kenyataan itu, pelaburan berkenaan akan memperkukuh platform pengurusan pembelajaran eksklusif TYMBA, iaitu TymbaFlex, meningkatkan kapasiti operasi syarikat serta memperhebatkan usaha pengembangan ke pasaran serantau.
Di samping memacu peralihan platform kepada Pengalaman Pembelajaran Bersepadu (ILE) yang mengintegrasikan AI, analitik lanjutan dan pembangunan berasaskan penguasaan automatik.
Ketua Pegawai Eksekutif VentureTech, Ahmad Redzuan Sidek berkata pelaburan itu sejajar dengan usaha meningkatkan akses kepada pendidikan profesional berkualiti tinggi melalui penggunaan teknologi dan pembelajaran hibrid.
“Dengan menyokong pembangunan TymbaFlex serta pertumbuhan serantau syarikat ini, VentureTech berhasrat memastikan kelayakan profesional bertaraf global dapat diakses secara lebih meluas pada kos yang berpatutan.
“Usaha ini juga menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam profesion bernilai tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA, Mohd Airil Razali berkata sokongan VentureTech memperkukuh misi syarikat untuk menyediakan pendidikan profesional berkualiti tinggi yang relevan dan bersedia memenuhi keperluan masa hadapan.
Kedua-dua syarikat memaklumkan kerjasama tersebut melengkapi penglibatan berterusan rakan strategik seperti Yayasan Peneraju dalam menyokong laluan pendidikan profesional untuk pelajar Bumiputera.
Menurutnya, dengan platform digital boleh dikembangkan, model penyampaian hibrid dan pengukuhan kehadiran serantau, TYMBA berada pada kedudukan strategik untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan profesional di Malaysia dan ASEAN.
#BeritaKS