
By BERNAMA.COM
KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- VentureTECH Sdn Bhd dan VentureTECH SBI Sdn Bhd mengumumkan pelaburan bersama berjumlah RM10 juta dalam Bateriku (M) Sdn Bhd (Bateriku.com) bagi meningkatkan lagi perkhidmatan berkaitan bantuan di tepi jalan.
Dalam kenyataan bersama hari ini, syarikat-syarikat itu berkata kerjasama ini bakal memperkasa Bateriku.com dalam misi pentakrifan semula industri bantuan tepi jalan dengan membangunkan ekosistem menghubungkan Bateri, Kerosakan, Bengkel (bengkel kereta) dan Bazar (pasaran alat ganti kereta).
“VentureTECH dan VentureTECH SBI telah memperuntukkan masing-masing RM3 juta dan RM7 juta untuk menawarkan Bateriku.com dengan sumber penting yang diperlukan bagi meningkatkan infrastruktur teknologi, mengembangkan portfolio perkhidmatan selain operasi untuk memenuhi permintaan terhadap penyelesaian bantuan tepi jalan yang cekap,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH Ahmad Redzuan Sidek menyifatkan kerjasama strategik itu akan membolehkan Bateriku.com mempercepat trajektori pertumbuhan sebagai penyedia penyelesaian sehenti dalam segmen bantuan tepi jalan, sekali gus turut tersenarai sebagai platform Pengalaman Pemilikan Kenderaan (VOE).
“Kerjasama ini menggambarkan keyakinan VentureTECH terhadap potensi Bateriku.com untuk membentuk masa depan serta membangunkan tenaga kerja tempatan dengan menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Ini seiring dengan falsafah pelaburan impak VentureTECH yang bermatlamat menjana impak positif masyarakat," katanya.
Bateriku.com juga dalam usaha memupuk ekosistem dinamik dan mampan, menyatukan BHERO (juruteknik GIG di barisan hadapan yang menyediakan khidmat kepada pemilik kenderaan); BPRENEUR (kedai runcit untuk menyokong perkhidmatan Bateriku.com) dan pihak berkepentingan BBUDDY (bengkel dipercayai dan peniaga bahagian automotif untuk melengkapkan permintaan yang kian meningkat daripada pemilik kenderaan) melalui integrasi lancar menerusi platform teknologi pintar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com Azarol Faizi berkata pelaburan strategik itu akan membolehkan syarikat meningkatkan operasi, memperluas jangkauan dan meningkatkan lagi pengalaman para pelanggan.
“Kerjasama ini adalah satu detik bermakna dalam pertumbuhan dan menandakan komitmen VentureTECH untuk menyokong syarikat inovatif meningkatkan standard industri dan mendorong pertumbuhan produktiviti," katanya.
-- BERNAMA